SEMINGGU selepas pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azmi Sharom dituduh di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani pada 9 September mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan menyemak semula pertuduhan itu.

Kenyataan itu turut menyebut "beberapa kes yang lain" juga akan disemak semula. Beliau tidak menyebut kes yang mana satu. Dalam tempoh sebulan ini, ada lebih 10 kes di mahkamah melibatkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Pada masa sama, beberapa individu sedang disiasat oleh polis. Apakah kertas siasatannya sudah sampai ke Pejabat Peguam Negara, kita tidak tahu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menegaskan siasatan polis akan diteruskan. Katanya, menyiasat tugas polis manakala mendakwa tugas Peguam Negara. Betullah kenyataan itu. Tugas polis dan Peguam Negara itu jelas.

Kenyataan Abdul Gani itu bagaimanapun melegakan banyak pihak yang sejak sebulan lalu agak resah. Mereka resah melihatkan Akta Hasutan terus digunakan biarpun selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hasrat pentadbirannya mahu memansuhkan akta tersebut. Mereka bertanya: Sebenarnya hendak mansuh atau tidak? Jadi atau tidak?

Berpilih-pilih

Orang juga resah kerana melihat pendakwaan itu seperti berpilih-pilih. Sesetengah individu yang dengan terang-terangan mengeluarkan kenyataan yang "berkecenderungan hasutan" tidak pula disiasat, apalagi didakwa di mahkamah. Laporan polis ada dibuat tetapi kita tidak tahu apa perkembangannya. Kalau ada tindakan katakan ada, tidak orang ternanti-nanti.

Tetapi sesetengah pihak mempersoalkan pula kenapa Peguam Negara hendak semak semula kes Azmi Sharom dan beberapa kes lain yang tidak beliau namakan itu? Kenyataan Peguam Negara itu biarpun melegakan tetapi menimbulkan tanya tanya. Orang bertanya: Apa sebab selepas dakwa di mahkamah baru hendak semak semula? Kenapa tidak semak betul-betul sebelum dakwa?

Abdul Gani memaklumkan pihaknya prihatin terhadap hal-hal yang disuarakan oleh banyak pihak berhubung "mana-mana kes yang telah diputuskan untuk pendakwaan" oleh Jabatan Peguam Negara. Beliau juga membayangkan tidak ada yang pelik dengan langkah semakan semula itu. Beliau menegaskan bahawa ia "prosedur biasa" supaya pendakwaan di mahkamah sentiasa adil, telus dan saksama.

Menarik balik kes yang sudah dituduh di mahkamah bukan suatu perkara yang pelik. Menarik balik pertuduhan di bawah Akta Hasutan pun bukan perkara yang tidak pernah dibuat. Kes ke atas mendiang Karpal Singh dulu pun pernah ditarik balik. Kes itu bersabit kenyataan yang beliau buat di mahkamah pada 1999 semasa membela Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat. Kenyataan itu menyentuh dakwaan kononnya Anwar kena racun dengan arsenik.

Apabila sampai hari bicara selepas lebih dua tahun kes itu mula dituduh, Abdul Gani mengumumkan menarik balik kes tersebut. Tindakannya itu memeranjatkan semua orang. Episod itu penuh drama. Dramanya bermula apabila Karpal bertikam lidah dengan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Mokhtar Abdullah dan kemuncaknya dia mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghasut. Cerita bagaimana pertuduhan itu ditarik balik pun penuh drama juga. Selepas pung-pang-pung-pang Karpal bertekak dengan Hakim Augustine Paul tentang status peguam pemerhati dan selepas dia meminta hakim tarik diri, Abdul Gani memaklumkan kes itu ditarik balik.

Gani Patail
Abdul Gani berkata langkah semakan semula beberapa kes di bawah Akta Hasutan, hanyalah satu 'prosedur biasa' - Foto Bernama
Abdul Gani pada masa itu baru dilantik sebagai Peguam Negara. Beliau menggantikan Tan Sri Ainum Mohamed Saaid yang letak jawatan "atas masalah kesihatan". Pelantikannya ketika itu jadi perhatian kerana pengunduran Ainum yang agak mengejutkan dan pengumuman namanya sebagai pengganti yang dipersoalkan dari segi perlembagaan. Keputusan beliau menarik balik kes ke atas Karpal itu bagaimana pun dapat pujian. Tetapi Abdul Gani melakukannya bukan untuk pujian sebaliknya kerana itulah langkah yang betul.

Pendakwaan ke atas Karpal ketika itu menjadi perhatian terutamanya di kalangan pengamal undang-undang termasuk di peringkat antarabangsa. Ini kerana pertuduhan ke atas Karpal itu melibatkan apa yang dicakapkan oleh seorang peguam semasa menjalankan tugas menjaga kepentingan anak guamnya. Pertuduhan ke atas Azmi Sharom juga jadi perhatian sekarang ini kerana ia dilihat mengancam kebebasan akademik. Orang bertanya: Apakah pensyarah di universiti tidak boleh berfikir dan memberi pendapat mengikut kebolehan ilmunya? Universiti dibangunkan untuk apa?

Tugas dan tanggungjawab

Membuat pertuduhan atau menarik balik pertuduhan adalah tugas dan hak Peguam Negara. Abdul Gani dalam kenyataan empat perenggannya itu mengingatkan tentang komitmen tugas dan amanah yang dipikul oleh jabatannya dalam mendakwa kes-kes jenayah. Tugas itu dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan undang-undang, katanya. Ia dilakukan "dengan adil, saksama, telus dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak".

Dalam menjalankan tugas-tugasnya itu, Peguam Negara diberi kuasa mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Peguam Negara ada kuasa untuk menentukan pertuduhan yang hendak dikenakan dan di mahkamah mana. Kalau jenayah itu merupakan kesalahan di bawah beberapa akta berlainan yang membawa pula hukuman yang berlainan -- seperti memiliki senjata tanpa lesen, Peguam Negara boleh memutuskan akta mana satu yang hendak dipakai. Begitu juga kalau mahkamah bicara mendapati tertuduh tidak bersalah, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya boleh untuk tidak mengemukakan rayuan. Semua kuasa itu adalah kuasa yang mutlak. Mahkamah pun tidak boleh masuk campur. Ini kedudukan undang-undang yang sudah dijelaskan dalam banyak keputusan mahkamah termasuk oleh Mahkamah Persekutuan.

Selain kuasa mutlak itu, pertuduhan di bawah Akta Hasutan pula memerlukan izin daripada Pendakwa Raya sebelum kes itu boleh dituduh di mahkamah. Mengikut undang-undang, Peguam Negara adalah juga Pendakwa Raya.

Dengan kedudukan undang-undang yang seperti itu, wajarlah kalau orang bertanya kenapa semak selepas tuduh, kenapa tidak timbang sebelum tuduh. Antara yang bertanya termasuk Tan Sri Abu Talib Othman yang pernah jadi Peguam Negara antara 1980 hingga 1993.

Sikap

Abdul Gani selama ini dikenali sebagai seorang yang tahu apa yang beliau lakukan. Beliau tegas, munasabah dan selebihnya, tidak pernah mahu kepada publisiti yang bukan-bukan. Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia pada Mac 2003 -- yang pertama beliau berikan kepada media sejak jadi Peguam Negara -- Abdul Gani membayangkan sikapnya terhadap undang-undang serta tugas dan tanggungjawabnya.

"Kami tidak akan bawa (kes) ke mahkamah kalau kami tidak yakin akan menang," katanya.

Beliau juga memberitahu bagi setiap kes yang dibawanya ke mahkamah, beliau boleh tidur lena. "Selagi kita jelas tentang apa yang kita buat dan tidak peduli hal-hal lain mengganggu atau orang lain mempengaruhi kita, kalau kita ikut undang-undang dan keadilan, kita tidak akan ada masalah itu," katanya.

Selepas 10 tahun ini pun, sikapnya itu tidak pernah berubah. Abdul Gani masih juga seorang yang tegas, munasabah dan tidak juga peduli dengan media. Tetapi apabila beliau mengumumkan akan menyemak semula kes Azmi Sharom dan beberapa kes lain yang dituduh di bawah Akta Hasutan, kita tidak mengelak daripada bertanya apa sebenarnya sudah jadi?