PIHAK kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) wajar memberi pertimbangan untuk mewujudkan satu akta baru yang diberi nama Akta Keharmonian bagi mengurangkan, meredakan serta membendung masalah yang berkaitan dengan ketegangan antara kaum dalam negara kita.

Melalui cadangan Akta Keharmonian terbabit, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak boleh melakukan sebarang perkara yang boleh menganggu atau gugat kestabilan hubungan antara kaum yang telah wujud buat sekian lama dalam negara kita.

Pada masa yang sama juga melalui cadangan Akta Keharmonian ini juga dapat menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk bersuara dan memberi pendapat mereka seperti yang telah diperuntukkan dibawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Semenjak akhir-akhir ini terdapat beberapa insiden yang berlaku dalam masyarakat kita yang sekiranya tidak dikawal atau dicegah dari peringkat awal boleh mencetuskan perbalahan dan salah faham sehingga menjejaskan keharmonian antara pelbagai kaum dalam negara kita sekaligus mengugat keamanan dan keselamatan negara.

Cadangan untuk mewujudkan Akta Keharmonian ini juga boleh digunakan bagi mengantikan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang sudah lama dikuatkuasakan iaitu semenjak zaman British lagi. Selepas negara kita merdeka pada tahun 1957 sehingga terbentuknya negara Malaysia pada tahun 1963, Akta Hasutan 1948 [Akta 15] berkenaan masih lagi digunakan sehingga kini.

Akta yang telah berusia 70 tahun ini telah dirangka bagi menyelesaikan masalah – masalah berbangkit ketika zaman penjajahan British serta bagi menghadapi segala ancaman yang dihadapi oleh negara pada awal penubuhannya.

Keadaan serta suasana masa kini telah pun banyak berubah lebih-lebih selepas Pilihanraya Umum Kali Ke 14 (PRU14) beberapa bulan yang lalu yang jelas menunjukkan rakyat negara kita inginkan sebuah negara baru yang ditadbir dengan lebih baik lagi serta memiliki satu bentuk peruntukkan undang-undang yang lebih sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak orang ramai pada masa kini yang tidak menekan mana-mana pihak daripada bersuara dan memberi pendapat serta pada masa yang sama dapat melindungi kastabilan hubungan antara kaum dan agama yang ada dalam negara kita.

Dengan adanya Akta Keharmonian ini, satu bentuk peruntukan undang-undang baru bagi mencapai satu keseimbangan terbaik dapat dilakukan dalam menjamin kebebasan bersuara dan memberi pendapat setiap warga negara seperti yang telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat di dalam negara ini.
Tanpa adanya satu bentuk akta yang mempunyai keseimbangan yang ideal dan sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak masa kini, ia akan sudah pasti merencatkan hak individu untuk bersuara dan memberi pendapat serta pada masa yang sama menjejaskan keharmonian antara kaum.

Bagi merealisasikan cadangan ini, pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan terbabit dengan lebih terperinci lagi. Ahli jawatankuasa khas berkenaan mestilah terdiri daripada beberapa orang pakar perundangan khususnya yang berkaitan dengan aspek hak asasi manusia dalam negara termasuk pihak dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), pihak pengamal undang - undang, pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia serta pihak dari Jabatan Peguam Negara.

Jawatankuasa khas ini bertanggungjawab untuk mencari satu keseimbangan terbaik melalui cadangan Akta Keharmonian ini bagi menjamin kebebasan setiap rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat serta pada masa yang memastikan setiap pendapat dan suara yang diberikan tidak menjejaskan suasana kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.


* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI