Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat kerana Seri Paduka mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata mengikut akta itu, perdana menteri pula hanya diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat bagi 'satu kawasan atau kawasan-kawasan tertentu'.

Ketika memberi penjelasan mengenai Akta MKN, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai budi bicara untuk mengisytiharkan darurat secara peribadi tetapi harus bertindak atas nasihat kerajaan.

"Ia bukanlah seperti apabila anda berhasrat mengisytiharkan (darurat), kemudian bertindak mengisytiharkannya. Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong harus bertindak atas nasihat. Ini amat penting," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, hari ini.

Akta MKN 2016, yang membolehkan kerajaan mempunyai kuasa-kuasa darurat, berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun ini.

Mohamed Apandi berkata sama seperti Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri juga tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak atas kemahuan sendiri untuk mengisytiharkan darurat.

"Beliau (perdana menteri) akan bertindak atas nasihat Majlis (MKN), yang terdiri daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam perkara-perkara berkaitan keselamatan negara. Perdana menteri akan bertindak sewajarnya berdasarkan nasihat yang diberikan," katanya.

Beliau berkata pihak berkenaan termasuklah Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Setiausaha Negara.

Bagi perintah darurat oleh perdana menteri, Apandi menjelaskan bahawa Parlimen tidak digantung dan akan terus bersidang.

"Mengikut akta itu, pengisytiharan itu, yang akan berkuat kuasa selama enam bulan, hendaklah dibentangkan dalam tempoh beberapa minggu di Parlimen. - BERNAMA