Banyak akta sedia ada dan perundangan tertentu yang perlu diselaraskan terlebih dahulu bagi memastikan urusan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan lancar, kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini.

Menegaskan bahawa proses berkenaan akan mengambil masa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menguruskan perkara itu.

"Kami perlu teliti. Sesetengahnya memerlukan pindaan kerana ia melibatkan badan kehakiman, pengasingan kuasa, pengagihan ekonomi dan sebagainya.

"Sebenarnya, kira-kira dua minggu lepas, saya terima sepucuk surat daripada Jabatan Peguam Negara supaya dibawa kepada Kabinet beberapa peruntukan yang perlu diubah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Pesta Ang Pau Tahun 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Good Shepherd, Manggatal, di sini.

Abdul Rahman menyifatkan kejayaan negeri Sarawak susulan penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) adalah atas ketelusan dan keperihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengembalikan hak dan keistimewaan rakyat negeri itu.

Sambil menyifatkan pengembalian hak negeri itu sangat wajar, beliau berkata, ia juga menjadi petanda satu kejayaan besar buat Sarawak dalam menuntut kembali hak dan keistimewaan seperti yang termaktub dalam MA63.

"Perdana Menteri kita telah menekankan bahawa beliau amat menghormati hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak dalam MA63," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kejayaan Sarawak yang diberikan hak PETROS seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg dalam satu majlis di Kuching, pada Selasa lalu.

Sementara itu, Abdul Rahman berpendapat, Kerajaan Negeri Sabah kini bersedia untuk meminda perlembagaan supaya hak serta keistimewaan, termasuk isu minyak dan gas di negeri itu, dapat dituntut daripada Kerajaan Persekutuan.

"Perdana Menteri sudah beberapa kali membuat kenyataan umum dan terbuka bahawa beliau akan menghormati dan mengembalikan hak rakyat Sabah yang telah termaktub dalam MA63.

"Komitmen ini tidak dibuat oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) dahulu, sebab bila dia jadi pembangkang, barulah beria-ia mahu mengembalikan hak kepada rakyat di negeri Sabah," katanya.

Pada majlis hari ini, Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM2.9 juta bagi pembinaan bangunan baharu SJKC Good Shepherd bagi memberi ruang kepada Gereja Katolik Good Shephard bersebelahannya diperbesarkan.

Menurut guru besar sekolah itu, Tan Lee Lee, keadaan sekolah berkenaan yang sudah berusia 90 tahun, kini semakin uzur dan tidak mengizinkan pelajar untuk mengikut pelajaran dalam keadaan selesa.

"Sejak 10 tahun lepas, kami telah mengumpul kira-kira RM5 juta daripada masyarakat setempat dan melalui bantuan kerajaan, tetapi masih kekurangan RM2.9 juta.

"Kini, kami boleh jadikan impian kami untuk mempunyai sebuah sekolah baharu suatu kenyataan dan kami menjangka, bangunan baharu itu nanti mampu menampung tambahan 20 atau 30 peratus kepada jumlah pelajar sekarang," katanya, sambil menjelaskan bahawa sekolah itu kini mempunyai 432 pelajar.

Tapak baharu seluas satu hektar itu, yang terletak di Kampung Rampayan, kira-kira 500 meter dari lokasi sedia dan berukuran dua kali lebih besar daripada yang ada sekarang, diberi kerajaan negeri.