Skim perlindungan Per­tubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu teksi bakal dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri pada pertengahan bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, draf undang-undang berkaitan akta itu sendiri juga bakal dibentang di Parlimen tahun depan.

"Pada masa sama, beberapa sesi rebat urus akan diadakan bersama 'stakeholders' bagi mendapatkan pandangan mengenai skim rebat tersebut.

"Draf undang-undang bekerja sendiri juga sedang digubal dan akan dikemukakan kepada peguam negara untuk semakan dan kelulusan, setelah diluluskan ia akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2017.

"Keseluruhan proses mengambil masa enam bulan atau lebih untuk diselesaikan," katanya.

Richard berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mahu skim perlindungan Perkeso kepada pemandu teksi yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan akan dilaksanakan.

Semasa pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, skim Perkeso kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan juga akan diperkenalkan dengan geran pelancaran RM60 juta.

Kata Datuk Seri Najib, di bawah skim itu, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar RM157 hingga RM443 setahun, iaitu hanya RM13.08 sebulan.

Sekiranya berlaku kemalangan sewaktu bekerja, mereka layak membuat tuntutan daripada Perkeso.

Dalam pada itu kata Richard, pemandu Uber dan Grab masih belum dimasukkan di bawah skim perlindungan berkenaan.