Polis menumpaskan kumpulan 'Geng Wan' dianggotai empat suspek yang dipercayai mendalangi lima kes pecah rumah di sekitar Perumahan Cyber City, Penampang, dalam satu operasi pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kesemua suspek mula aktif melakukan jenayah di kawasan berkenaan sejak awal bulan Oktober lalu dan menjadikan rumah yang tidak berpenghuni serta tidak mempunyai grill sebagai sasaran.

Katanya, ketika operasi itu, dua daripada suspek ditahan di tempat meletak kenderaan kawasan apartmen itu yang seterusnya membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di sebuah rumah apartmen lokasi sama.

Dalam operasi itu, polis juga merampas pelbagai barangan yang dicuri suspek bersama sebuah kenderaan Myvi dengan anggaran nilai kerugian sebanyak RM37,000.

"Berdasarkan soal siasat kita dapati kumpulan ini menjadi dalang kepada lima kes pecah rumah di sekitar kawasan itu," katanya.

Kes disiasat disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah dan curi dalam rumah kediaman.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis turut menahan seorang lelaki warga Filipina bersama satu peket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 50.50 gram dengan anggaran nilai sebanyak RM7500.75, dalam satu operasi di depan sebuah hotel di Bundusan pada 29 Oktober lalu.

Menurut Haris, suspek yang berusia 29 tahun itu merupakan 'Runner Dadah' yang aktif di sekitar Inanam, Kota Kinabalu serta Penampang dan mula melakukan jenayah itu sejak setahun lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum gantung sampai mati kerana memiliki dan mengedar dadah melebihi 50 gram.