Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini membenarkan perintah interim kepada aktivis, Khalid Mohd Ismath, 25 tahun, sehingga 11 November sementara menunggu bicara bagi permohonan semakan terhadap 14 pertuduhan bagi Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak, bagaimanapun, menetapkan tertuduh untuk diberi pelepasan perintah interim dengan jaminan RM70,000, iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Khalid juga diarahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebanyak dua kali iaitu pada 30 Oktober dan 10 November.

Tertuduh diwakili sekumpulan peguam daripada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia yang diketuai Roger Chan Weng Keng.

Pada 9 Oktober lepas, tertuduh didakwa menerbitkan tiga komen berasingan yang mempunyai perkataan menghasut dalam laman sosial Facebook berkaitan solidariti untuk peguam Kamal Hisham Jaa’far.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Johor.

Bagi 11 pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Khalid didakwa menghantar satu komen yang jelek di laman sosial sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kedai Gunting Rambut Raja di Taman Pelangi Johor Bahru di antara 2 September hingga 5 Oktober lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abdul Majid.

Khalid sebelum ini juga pernah ditahan di Klang di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana dipercayai menyebarkan kenyataan berbaur hasutan melalui media elektronik.