Dua aktivis Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan dan Norsham Abu Bakar hari ini berlepas ke Cagliari, Itali bagi menyertai misi flotilla 'Right to A Just Future for Palestine' anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Dr Fauziah, 61, yang pernah ditahan Israel ketika menyertai misi "Women's Boat to Gaza" (WBG) dua tahun lepas akan menyertai 27 aktivis daripada 10 negara dalam pelayaran merentasi 13 pelabuhan utama dunia sebelum berakhir di Gaza, Palestin.

Beliau berkata misi lebih dua bulan menggunakan kapal Al-Awda yang bermaksud pulang dilengkapi kru dan tukang masak akan belayar melalui terusan Inggeris itu juga akan disertai tiga kapal kecil daripada Sweden.

"Walaupun pernah mengalami pengalaman menakutkan, saya tidak serik untuk terlibat dalam misi kemanusiaan seperti ini, malah lebih membanggakan pelayaran kali ini turut disertai 10 orang lagi aktivis Malaysia.

"Untuk misi ini, saya hanya terbabit dalam pelayaran dan persinggahan di tiga pelabuhan iaitu Cagliari dan Napoli di Itali dan Ajjacio, Perancis," katanya kepada pemberita sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Dr Fauziah berkata beliau tidak dapat menyertai keseluruhan pelayaran atas faktor keselamatan selain rekod pernah ditahan pihak berkuasa Israel sebelum ini.

Katanya atas pengalaman melalui misi getir sebelum ini, beliau hanya terlibat dalam hal berkaitan kursus dan motivasi berkenaan aspek keselamatan dan kemanusiaan kepada semua peserta pelayaran selain turun bertemu pemimpin tempatan dan ahli politik di negara yang disinggahi bagi menyampaikan mesej mengenai kesengsaraan rakyat Palestin.

Dr Fauziah berkata tujuh aktivis Malaysia telahpun berlepas ke beberapa negara, manakala baki yang lain akan menyusul dengan kesemua mereka akan bersilih ganti menaiki kapal di lokasi berasingan.

"Ini adalah usaha kecil kami mewakili Malaysia bagi memberi pernyataan kepada dunia tentang nasib menimpa rakyat Palestin dan memberitahu mangsa kekejaman Israel bahawa dunia tidak pernah melupakan penderitaan mereka," katanya.

Bagi Norsham, 56, penyertaan beliau adalah bagi menunjukkan wanita juga boleh memainkan peranan membawa suara keamanan Palestin kepada masyarakat dunia.

Selain kanak-kanak, wanita adalah golongan yang paling teruk terkesan akibat kekejaman Israel, dan kehadiran saya lebih kepada menunjukkan kebersamaan yang mereka tidak dilupakan, katanya.

-- BERNAMA