Kerajaan Negeri Sabah mengarahkan supaya aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir di sungai-sungai di Keningau dihentikan dengan serta-merta.

Menteri Industri Pertanian dan Makanan Sabah Junz Wong ketika mengeluarkan arahan itu berkata ini kerana aktiviti itu menyebabkan hakisan pada tebing serta menurunkan kualiti sungai di samping memusnahkan habitat semula jadi dan menganggu hidupan dalam sungai.

"Sungguhpun mereka (operator) mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh pegawai hasil tanah semua kerja-kerja perlombongan dan pengorekan sungai hendaklah dihentikan serta-merta," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata operator yang masih berdegil akan menghadapi risiko lesen ditarik balik.

Menurut Junz beliau mengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah untuk menyelaras dan menjalankan pemeriksaan tetap supaya operator ini tidak akan meneruskan aktiviti mereka.

Beliau juga berkata kementeriannya menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan kesan kajian alam sekitar di sungai di Keningau akibat kegiatan perlombongan pasir yang bermaharajalela selama 20 tahun yang lalu.

Justeru, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang aktiviti mengorek pasir supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

--BERNAMA