Aktiviti pertanian yang berlaku di enam kampung di sekitar Lojing di sini, menyebabkan masyarakat Orang Asli yang tinggal di penempatan tersebut terdedah kepada risiko hakisan bukit.

Enam kampung terlibat ialah Kampung Bahong, Sangwai, Jedip, Jek Jok, King Kong dan Sendrop.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata perkara tersebut telah lama berlaku dan penduduk telah menyuarakan kebimbangan kepada pengusaha namun mereka tidak menghiraukannya.

"Berikutan itu, saya meninjau masalah berbangkit ini dan terkejut melihat banyak bukit tinggi di kawasan penempatan berkenaan telah disodok untuk aktiviti pertanian," katanya kepada pemberita selepas meninjau perkampungan tersebut, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata air Sungai Belatop yang menjadi sumber utama bagi penduduk di kawasan berkenaan mendapatkan bekalan air turut terjejas berikutan aktiviti tersebut.

"Selain air menjadi berselut, penduduk juga bimbang untuk menggunakan sumber tersebut untuk mandi, membasuh pakaian dan memasak kerana dikhuatiri lumpur dari kawasan tinggi turut mengandungi baja serta racun serangga.

"Malah ia turut memberi kesan kepada pelbagai jenis flora dan fauna terutama bunga pakma yang hidup di kawasan ini," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila keadaan suhu semakin meningkat di Lojing kesan daripada aktiviti terbabit.

"Sebelum ini suhu di Lojing sekitar 17 darjah celsius namun kini meningkat kepada 33 darjah celsius. Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan di Lojing," katanya.

-- BERNAMA