'Geng Sidi' yang aktif menyamun kereta mewah dan klon kenderaan tumpas selepas kesemua lapan anggotanya termasuk ketua mereka diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata pihaknya juga berjaya menemui kembali lima daripada lapan kenderaan mewah yang disyaki dilarikan oleh kumpulan terbabit di sekitar Selangor selain menyita tiga kenderaan klon.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 40 tahun itu diberkas dalam tempoh 20 hingga 22 Jan lalu dengan ketuanya ditangkap di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata kegiatan kumpulan itu terbongkar pada November lalu selepas pihaknya menerima laporan insiden langgar belakang dan samun kereta Audi A4 2.0 TFSI di Putra Perdana, Puchong.

Suspek dikesan selepas menggunakan kad Touch 'n Go kepunyaan pemilik kereta Audi yang dilarikan dalam kejadian itu, katanya.

Beliau berkata enam daripada suspek didapati positif dadah serta mempunyai rekod lampau bersabit curi kenderaan

"Hasil soal siasat yang dijalankan kesemua suspek telah mengaku terlibat dalam kegiatan samun serta klon kenderaan," katanya.

Soal siasat juga mendapati geng ini menjual kesemua kenderaan yang disamun dalam negara, katanya.

Mengenai tiga kenderaan klon yang disita hasil serbuan di sebuah rumah di Mantin, Negeri Sembilan, beliau berkata suspek mengaku kenderaan terbabit dibawa masuk dari negara jiran.

Polis sedangn giat mengesan baki tiga lagi kenderaan yang dilarikan kumpulan ini termasuk kereta Audi yang disamun di Putra Perdana, katanya.

-- BERNAMA