Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2020/2021 kepada 11 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini, hari ini.

Semua penerima biasiswa itu dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang meliputi sains dan teknologi, kejuruteraan dan undang-undang di pelbagai universiti tempatan dan luar negara.

Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah Noor Amiera Alias, pelajar rehabilitasi kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Amalina Hanani (Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar, Imperial College of London); Mohammad Hafizul Hazmi Wahab (Sains Komputer, UPM); Ong Yi Ni (Kimia, University of Oxford); Bryan Lim Wei Tern (Kepintaran Buatan dan Robotik, Imperial College of London) dan K. Sivasanghari (Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM).

Kesemua 11 penerima biasiswa melalui proses saringan dan pemilihan yang ketat. - Foto JPA

Sementara itu, pelajar yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana ialah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Kejuruteraan Elektrik, UKM); Nur Khairina Khairu Najihan (Mekatronik, Universiti of Tokyo); Farah Syazana Aspar (Etika dan Perundangan Perubatan, University of Melbourne); Rohaisha Jamil (Undang-undang, King’s College, London) dan Low Suey Yee (Parasitologi, UPM).

Sehingga kini, BYDPA sudah menaja 161 pelajar, membabitkan 82 pelajar di peringkat PhD dan 79 lagi di peringkat Sarjana sejak diperkenalkan pada 2006.

Turut hadir pada majlis penganugerahan biasiswa itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Pada masa sama, Mohd Khairul Adib berkata pihaknya melakukan saringan dan penilaian yang ketat walaupun proses pemilihan tersebut berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada tahun ini, kita menerima permohonan yang agak banyak lebih daripada 700 orang yang memohon. Daripada jumlah itu, 290 permohonan yang memenuhi semua syarat dan selepas ditapis, hanya 62 untuk ditemu duga.

“Disebabkan oleh PKP, temu duga dilakukan secara dalam talian yang mana barisan panel terdiri daripada pensyarah-pensyarah, profesor-profesor universiti untuk melihat dari segi kertas cadangan masing-masing,” katanya.

Beliau yang merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima biasiswa turut berharap mereka dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan hadir mengurniakan Bia­siswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2020/2021 kepada 11 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA