KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Samuel Isaiah, guru dari Pahang atas kejayaan terpilih antara 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas dedikasi serta usaha murni guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, pencalonan itu juga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga pencapaian hebat dan komitmen beliau menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Khususnya para guru, untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.


“Seri Paduka Baginda turut mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mendoakan semoga beliau memenangi anugerah tersebut serta dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang pendidikan,” titah Baginda dalam satu kenyataan pada Khamis.

Samuel yang juga penerima anugerah Guru Adiwira pada 2019 itu dipilih daripada 12,000 pencalonan dari lebih 140 negara.

Beliau telah memperkenalkan pelbagai inovasi untuk memberi inspirasi kepada pelajarnya yang terdiri daripada Orang Asli untuk menyimpan impian yang besar serta berusaha menghubungkan mereka ke dunia luar.

BACA: Cikgu Sam tersenarai 10 finalis terbaik Hadiah Guru Global 2020

Antara program diperkenalkan oleh beliau ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai 'Asli E-Pal', yang mana para murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa dalam dan luar negara.

Manakala, program 'Speak Up With Poetry' yang diperkenalkan Samuel pula ialah projek kerjasamanya dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli.

Pelajarnya kemudian boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Sejak pengenalan pelbagai program oleh beliau, purata kadar lulusan mata murid bahasa Inggeris di sekolah berkenaan meningkat dari 30 peratus pada 2012 kepada 80 hingga 85 peratus pada tahun 2015-2018.

Anugerah Hadiah Guru Global 2020 menawarkan hadiah US$1 juta (RM4.16 juta) adalah program pengiktirafan guru dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).