Sekumpulan remaja berusia 18 hingga 21 tahun termasuk dua pelajar perempuan kolej awam sanggup menyewa sebuah homestay di bandar ini semata-mata untuk dijadikan 'port' menghisap dadah.

Namun tindakan remaja berkenaan berjaya dihidu pihak polis apabila kesemua mereka ditahan dalam Op Sarang Narkotik yang diadakan bermula jam 10.30 malam tadi hingga jam 4 petang ini.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali, tiga remaja berkenaan ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja manakala dua lagi bagi kesalahan menghisap dadah jenis syabu.

"Kita membuat pemeriksaan ke atas homestay berkenaan selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan menahan tiga remaja perempuan dan dua lelaki.

"Kita percaya mereka ini menyewa homestay berkenaan semata-mata untuk menghisap dadah selain mengelak daripada dikesan polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Dalam operasi yang diketuai oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan itu dilaksanakan di sekitar bandar Kuantan, Gugusan FELDA Lepar Hilir, Sungai Lembing dan Tanjung Lumpur.

"Hasil operasi berkenaan, polis menahan seramai 51 orang iaitu 44 lelaki dan tujuh perempuan bagi pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah

"Kesemua tangkapan adalah berusia 18 hingga 45 tahun. Antara kesalahan yang dilakukan adalah memiliki dadah," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas beberapa jenis dadah iaitu syabu seberat 5.2 gram, pil yaba seberat 0.03 gram dan ganja 1.08 gram.

"Kita juga dapati kira-kira 50 peratus daripada kesemua yang ditahan ini sudah pernah ditahan sebelum ini berkaitan kes yang sama," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman bermula hari ini hingga Sabtu di Lokap Berpusat, Indera Mahkota di sini untuk tujuan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.