Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang dipukul di hadapan rumahnya di Shah Alam pada awal pagi Khamis dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Dr Dzulkefly menjelaskan, dia sudah membuat pemeriksaan di hospital dan bersyukur kerana tiada sebarang keretakan tulang berlaku di muka.

"Alhamdulillah, semua OK, saya sudah membuat pemeriksaan x-ray dan keputusan menunjukkan tidak ada apa-apa keretakan.

"Syukur kerana tidak ada apa-apa berlaku, jangan risau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Dzulkefly dilaporkan dipukul dan ditumbuk di bahagian muka dan dahi oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di hadapan rumahnya di Shah Alam.


Dzulkefly Ahmad
Kecederaan di bahagian muka dan dahi Dr Dzulkefly akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki di hadapan rumahnya di Shah Alam pagi tadi. - Astro AWANI


Serangan yang berlaku sebaik sahaja dia pulang dari solat Subuh itu telah menyebabkan bibirnya pecah dan kepalanya bengkak.

Sebuah portal melaporkan serangan itu dikatakan mungkin ada kaitan dengan teguran Dr Dzulkefly mengenai kerjasama antara ulama dan profesional dalam parti PAS yang dilihat seperti ‘sudah hilang hormat’ terhadap golongan ulama.

Beliau membuat komen berkenaan susulan resolusi dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia II yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS pada 21 Februari lalu.

Dalam pada itu kata Dr Dzulkifli, pihak polis juga baharu beredar meninggalkan kediamannya untuk mengambil laporan mengenai kes tersebut.

"Polis baru sahaja balik. Mereka mengambil keterangan dan berjanji akan menyiasat kes ini," jelasnya.

Terdahulu, laman Facebook Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat melahirkan perasaan sangat berdukacita dengan kejadian yang berlaku.

Kejadian pagi tadi merupakan kes kedua yang berlaku ke atas pemimpin PAS selepas kereta Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli di bakar di hadapan rumahnya 14 Februari lepas.