Tanah mendap di kawasan pembinaan pangsapuri mewah 23 tingkat di Desa Pandan mungkin diakibatkan oleh aliran air bawah tanah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, siasatan awal pihaknya mendapati terdapat kemungkinan berlakunya kebocoran pada longkang bawah tanah di hadapan kawasan pembinaan tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, tekanan atas jalan turut menyumbang kepada mendapan tanah itu.

"Ceracak yang ada runtuh mungkin disebabkan tekanan simpanan air ataupun air yang keluar daripada longkang yang menyebabkan struktur tanah tidak kukuh dan ini menyebabkan ceracak itu condong,”

“Kesan daripada itu dia memberi kesan kepada gerakan tanah dan kita nampak masa kita melawat tu ceracak itu telah condong,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya kerja-kerja membaiki saluran air bawah tanah sedang dijalankan bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang selain mengarahkan kerja pembinaan dihentikan.

Dalam pada itu pemaju pangsapuri mewah berkenaan memaklumkan kerja-kerja menstabilkan zon penampan sedang dilakukan.

"Kita akan buat ceracak di bahagian bawah tu jadi benda itu (dinding penampan) akan lebih stabil dalam masa sama kita akan buat kajian akan buat pemantauan tentang konkrit penampan dan punca-punca air itu,” katanya.

Dalam kejadian pada isnin lalu penduduk sekitar kawasan Desa Pandan gempar selepas sebahagian projek pangsapuri mewah setinggi 23 tingkat di Jalan Desa Pandan menuju ke Jalan Tun Razak didapati mendap.

Kejadian turut menyebabkan sebahagian Jalan Desa Pandan yang terletak di hadapan projek terbabit turut mendap.

Kejadian berlaku selepas hujan lebat pada malam Isnin.