Allahyarham Hasbullah Awang selamat disemadikan

Allahyarham Hasbullah Awang selamat disemadikan
Solat jenazah telah diimamkan sendiri oleh sahabat Allahyarham yang juga merupakan seorang pengulas sukan, Zainal Abidin Rauf (baju putih). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengulas sukan terkenal negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning pada jam 6.10 petang tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi jantung tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Himmatul Aliyah Seksyen 23 Shah Alam pada jam 4.50 petang untuk disempurnakan.
Solat jenazah telah diimamkan sendiri oleh sahabat Allahyarham yang juga merupakan seorang pengulas sukan, Zainal Abidin Rauf.


Hasbullah Awang
Jasad Allahyarham dibawa masuk ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kota Kemuning siang tadi. - Astro AWANI/Shahir Omar

 



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pemergian ke ramahtullah Hasbullah sebagai satu kehilangan besar buat peminat sukan negara.


Manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan pengulas yang berbakat seperti Allahyarham, sukar dicari ganti.

Tengku Abdullah yang ditemui menzahirkan rasa sedih dan berharap legasi pengulas sukan tersohor itu akan menjadi ikutan pengulas muda ketika ini.

Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang dalam twit terbarunya turut meluahkan rasa sedih ke atas pemergian Allahyarham yang dianggapnya sebagai 'Suara Sukan Malaysia'.



Pengulas veteran itu meninggalkan isteri Datin Hazida Alang Ahmad, 58, selain empat anak serta tujuh cucu.