Tokoh kewartawanan, Allahyarham Said Zahari atau dikenali sebagai Pak Said selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) USJ 22 kira-kira jam tujuh malam Selasa.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya.

Anak sulung Allahyarham, Rosman Said menyifatkan pemergian bapanya sebagai suatu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga bahkan bagi seluruh rakyat Malaysia.

Ini memandangkan Allahyarham bukan sahaja merupakan seorang yang pemurah malah sentiasa menekankan kepentingan mengekalkan hubungan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Apa yang saya sangat menyanjungi arwah bapa adalah sifatnya yang tidak mementingkan kebendaan. Arwah tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada orang lain malah memilih kehidupan yang lebih sederhana," katanya.

Allahyarham Said meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi Selasa pada usia 88 tahun dan perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Norman Said melalui satu catatan di laman sosial Facebook.

Sementara itu, Bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar yang turut menziarahi keluarga Allahyarham berkata, pemergian tokoh itu merupakan suatu kehilangan besar terutama dalam bidang kewartawanan negara.

Ini memandangkan sikap Allahyarham yang tegas dalam menegakkan keadilan sosial melalui penulisan dilihat sebagai tiada galang ganti terutama bagi generasi muda.

"Allahyarham Said Zahari telah menunjukkan satu bukti bagaimana perjuangan seorang tokoh kewartawanan yang tidak pernah takut dalam menegakkan keadilan.

"Dedikasi ini adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada dunia kewartawanan," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya.

Allahyarham Said merupakan tokoh wartawan disegani ramai berdasarkan perjuangan menentang penguasaan British di Tanah Melayu melalui penulisannya.

Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura selama 17 tahun ketika Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri negara tersebut.

Selain itu, Said juga dikenali kerana memimpin wartawan Utusan Melayu melakukan mogok terhadap pentadbiran akhbar itu pada tahun 1961 kerana membantah usaha parti politik menguasai akhbar itu.

Penulisan Allahyarham juga sentiasa menitik beratkan perjuangan rakyat malah menekankan kepentingan bagi memartabatkan sejarah.

Antara tokoh penulisan yang diminatinya termasuk Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.

Allahyarham pernah dilantik sebagai pengerusi Parti Rakyat Singapura.