Tutup

Almarhum Sultan suka mi rebus saya - Chef Wan

Almarhum Sultan suka mi rebus saya - Chef Wan
CHEF WAN: Baginda juga sentiasa pastikan semua orang dilayan dengan baik. -Foto Facebook/@Chef Wan
KUALA LUMPUR: Chef Selebriti Redzuawan Ismail atau lebih mesra dipanggil Chef Wan bercerita tentang pengalaman beliau sepanjang mengenali Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah serta bersama kerabat di Raja Pahang yang begitu rapat sedari kecil.

Menurut Chef Wan, kenangan berurusan dengan Sultan Pahang kelima itu ketika menjadi chef dan memasak sendiri aneka juadah di majlis-majlis makan malam yang dianjur kerabat di Raja Pahang.

Kata Chef Wan, di situ dia mula mengenali keluarga di Raja Pahang secara dekat.

“Kebaikan baginda menjadi bualan orang ramai. Baginda selalu menjadi orang yang baik, suka bersedekah dan memberi makan kepada orang ramai.
"Malah, Baginda juga sentiasa pastikan semua orang dilayan dengan baik,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Selain itu, katanya, baginda juga suka dengan masakan yang dimasaknya dan menu yang menjadi kegemaran baginda adalah mi rebus hasil air tangannya sendiri.

“Ada suatu ketika, Tuanku ingin merasa mi rebus hasil tangan saya dan malam itu juga saya masak sendiri mi rebus itu untuknya.
Apa yang mengejutkan, apabila selesai memasak dan pulang ke rumah, saya dapati ada RM25,000 wang tunai dan hadiah seperti telefon baharu keluaran Samsung dan sebuah kamera berjenama Canon di dalam beg perkakas saya,” ujarnya.

Chef Wan menghubungi baginda untuk bertanyakan mengenai hal tersebut, sama ada baginda mungkin tersalah letak atau sebagainya, dan jawapan yang diterima ialah Tuanku Sultan sendiri meletakkan ganjaran tersebut di dalam beg itu sebagai hadiah.

Chef Wan berkata tidak pernah berlaku dalam hidup dibayar sebegitu banyak wang hadiah untuk sajian mi rebusnya.



Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, hari ini, kira-kira jam 8.50 pagi pada usia 89 tahun.

BACA: Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah mangkat di IJN