Tidak sanggup lagi menahan penderitaan didera sejak dua tahun lalu, tiga pembantu rumah warga Indonesia nekad meminta bantuan orang awam untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Lebih tragis, ketiga-tiga mereka yang bekerja dengan majikan sama di Taman Saujana Bukit Katil, Melaka itu bukan sahaja dipukul, malah gaji mereka turut disimpan majikan.

Ade Hermayani, 21 tahun, yang bekerja dengan majikan itu sejak dua tahun lalu berkata selain menguruskan rumah, dia dan dua rakannya Siami, 22, dan Fitriatul Hasanah, 29, turut membantu di restoran milik majikan.

Ujar Ade, boleh dikatakan setiap hari mereka akan dipukul oleh majikan wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an dan anak lelakinya yang berusia lingkungan 20-an, lebih-lebih lagi ketika menjalankan tugas di restoran makanan milik keluarga itu.

Tambahnya, meskipun restoran itu tidak beroperasi pada hujung minggu, namun ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan berehat malah akan dibawa pula ke Tangkak untuk mengemas rumah keluarga majikannya di sana.

“Saya dipukul menggunakan batang mop hanya kerana belum sempat meletakkan ayam di tempatnya. Bukan sahaja dipukul, tetapi juga ditendang sehingga tidak boleh bangun,”cerita Ade.

Sementara itu, Siami yang telah berkhidmat selama enam bulan dengan majikannya itu berkata mereka sering dipukul dengan sudip memasak dan batang mop tanpa belas kasihan sehingga meninggalkan kesan lebam pada badan.

Malah, katanya, dia pernah mengalami pendarahan serius pada telinga akibat dicubit dan ditarik dengan menggunakan kuku oleh majikan wanita itu.

Lebih memeritkan, disebabkan tidak mempunyai wang dan tidak dibenarkan keluar sesuka hati, mereka tidak pernah menerima sebarang rawatan di klinik mahupun hospital setiap kali mengalami kecederaan.

“Kami tak dibenar memegang duit, kalau kami beli apa-apa barang, gaji kami akan dipotong,” kata Siami.

Tambahnya, setelah tidak tahan lagi didera, mereka kemudian secara senyap-senyap menceritakan kejadian itu kepada orang awam yang kebetulan menjamu selera di restoran tempat mereka bekerja sebelum individu terbabit melaporkan kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Suprintendan Shaikh Abd Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.