1. PADA pagi 4 Disember di Stadium mini Titiwangsa, UMNO dan PAS telah menggunakan kesempatan untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung kezaliman kerajaan Myanmar terhadap rakyatnya sendiri iaitu kaum Rohingya.

2. Ruang forum yang lebih baik wujud, iaitu di Parlimen, tetapi ruang ini telah tidak dimanfaatkan kedua-dua parti tersebut. Sebaliknya pendekatan 'perhimpunan ummat' digunakan.

3. Sedangkan, pada 24 November baru- baru ini satu Usul berhubung isu Kekejaman keatas Rakyat Rohingya telah dibawa oleh pihak pembangkang untuk dibahaskan di Parlimen. Beberapa wakil Pembangkang dari Amanah, PKR dan DAP telah mendesak untuk Speaker Dewan Parlimen membenarkan isu ini dibahaskan tetapi telah ditolak oleh Speaker.

4. Tiada ahli Parlimen UMNO-BN atau PAS bersuara menyokong usul tersebut dibenarkan untuk dibahas. Alasan Speaker menolak ialah kerana tidak mahu campur tangan ehwal Negara lain.

5. Anehnya lebih kurang seminggu selepas itu UMNO- BN bersama PAS menyertai Himpunan Solidariti dengan Rakyat Rohingya di Stadium Titiwangsa. Tajuk isunya adalah sama- kekejaman atas Muslim Rohingya ! Ini bermakna isu -isu yang sepatutnya dibahas secara serius di Parlimen telah di bawa lari ke sebuah Stadium untuk dibahas oleh hanya UMNO dan PAS. Dengan itu ramai melihat ini sebagai usaha mengambil kesempatan dari penderitaan kaum Rohingya demi kepentingan politik dua parti politik terbabit, bukan sebagai mencari penyelesaian terhadap tragedi tersebut.

6. Sebahagian besar 222 Ahli Parlimen yang dipilih rakyat telah dinafikan hak mereka untuk menyuarakan pandangan rakyat diwakili mereka dan menetapkan tindakan kerajaan untuk membela kaum Rohingya yang dizalimi! Demokrasi apakah ini?

7. Sudah jelas alasan yang diberi oleh Speaker untuk menolak Usul kami tidak boleh diterima lagi dengan pengumuman Perdana Menteri di Stadium Titiwangsa tentang isu Rohingya. Oleh itu, kami di sini menuntut Perdana Menteri mengadakan satu Sidang Parlimen Khas untuk Membahas Isu Kekejaman Ke atas Muslim Rohingya di Dewan Parlimen Yang Mulia. Kami ahli Parlimen Pembangkang terutamanya, tidak redha isu sepenting ini di "HIJACK" oleh Parti-parti politik tertentu sahaja untuk kepentingan politik murahan mereka dan menafikan Parlimen Malaysia membuat ketetapan yang rasmi untuk Negara dan Rakyat Malaysia.
Hak Rakyat melalui wakil rakyat Parlimen yang mereka pilih tidak boleh dinafikan.

Kepada Allah kita berserah dan memohon keadilan dariNya.


* Raja Kamarul Bahrin Shah merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan juga Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah)

** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.