Hukuman berat menanti mana-mana nelayan tempatan yang menjadikan bot mereka untuk membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

Pihak berkuasa, tegas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak akan berkompromi dengan nelayan-nelayan di seluruh negara yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Amaran berkenaan dikeluarkan Salahuddin berdasarkan maklum balas yang diterima hasil daripada risikan yang dijalankan pihak berkuasa.

Tegas beliau, sekalipun belum ada laporan terperinci, namun, kerja-kerja risikan pihak berkuasa mendapati terdapat segelintir nelayan mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan jenayah itu.

"Saya beri amaran kalau bot ke laut itu eloklah ke laut untuk tangkap ikan bukan ambil orang.

"Kalau kena (ditahan pihak berkuasa) nanti susah, sebelum terjadi, ini amaran kita beri bot lesen itu untuk tangkap ikan bukan ambil orang asing.

"Jika tertangkap itu bukan bidang kuasa saya lagi, jadi jangan susahkan diri sendiri... mulai dari sekarang saya beri peringatan jangan gunakan bot nelayan bawa pendatang asing," tegas Salahuddin memberi peringatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di sini pada Selasa.

Menurut beliau, seandainya dikesan terdapat pelakuan jenayah berkenaan, bukan hanya hukuman berat dari kementeriannya yang menanti nelayan-nelayan tersebut.

Sebaliknya, kata Salahuddin, kementerian-kementerian lain yang mempunyai kuasa mendakwa pesalah dalam kes berkenaan juga akan mengambil tindakan yang sama.