Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada 542 pengusaha ladang ternakan babi di Semenanjung supaya meningkatkan tahap kebersihan ladang dan kandang masing-masing.

Tegasnya, ia langkah khusus selain pemantauan dan mengadakan semburan ke atas ladang ternakan babi terutamanya yang berisiko tinggi membawa jangkitan penyakit Japanese Encephalitis (JE).

"Pengusaha terbabit perlu menyediakan sistem perparitan dan kumbahan najis ternakan yang teratur sekali gus dapat membanteras pembiakan nyamuk di kawasan ladang ternakan.

"Kita akan minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Jabatan Kesihatan bersama dalam langkah mengawal vektor (nyamuk) jenis culex Tritaeniorhynchus yang menjadi punca penularan wabak berbahaya tersebut," katanya.

Jelas Ismail, sebagi langkah keselamatan, ternakan berkenaan juga tidak dibenarkan sama sekali dibawa keluar dari kawasan ladang.

"Walaupun ladang ternakan babi di Kampung Selamat dilaporkan negatif sebagai punca penyakit JE, namun pihak Jabatan Veterinar tetap memantau pergerakan ternakan babi dan ladang di kampung berkenaan," ujarnya.

Ismail berkata pengurusan ladang juga diminta melaporkan kepada Jabatan Veterinar sekiranya terdapat ternakan ataupun pekerja mereka yang sakit untuk diambil tindakan dan diberikan rawatan bagi mengelakkan sebarang wabak penyakit berjangkit menular.

"Pemantauan juga akan dilakukan tidak hanya bertumpu kepada ladang ternakan babi sahaja namun ladang ternakan lain seperti ayam, lembu dan kambing juga akan diberi perhatian kerana virus JE boleh berjangkit kepada ternakan lain, tidak hanya kepada babi sahaja," katanya.

Minggu lalu seorang murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dimasukkan ke hospital kerana disyaki dijangkiti JE.