Pejabat Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) memberi amaran keras kepada mereka yang terlibat dalam industri maritim sama ada tekong mahupun nelayan sekiranya didapati menjadi dalang penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

NTF menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang menjalankan kegiatan itu.

“Mereka boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mereka juga bakal berdepan tindakan pembatalan lesen menangkap ikan, memancing dan juga lesen pengoperasian bot penumpang atau rekreasi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Sehingga kini lebih 300 tekong dan dalang warga tempatan telah dikenal pasti melakukan kegiatan itu dan sedang diburu pihak berkuasa .

Katanya lagi, tindakan itu tidak hanya tertumpu kepada di kawasan perairan semenanjung, Sabah, dan Sarawak malah ia meliputi seluruh sempadan daratan negara.

NTF menerusi OP Benteng akan terus melaksanakan penguatkuasaan sehingga ke akar umbi bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pendaratan PATI ke negara ini khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan mengelak risiko jangkitan.