Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga Sreenavasan perlu berani bertanggungjawab terhadap tindakannya memberikan data dan maklumat yang mengaitkan pemimpin tertinggi Pas menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ambiga tidak boleh bersikap seperti 'membaling batu sembunyi tangan' dalam perkara berkenaan dengan cuba mengelakkan diri daripada ditemui pihak media.

"Seorang yang hanya berani apabila berada di belakang dan tidak berani apabila berada di hadapan jika beliau mahu mengelakkan diri daripada ditemui oleh wartawan sama ada di halaman rumah atau di pejabat.

"Ertinya beliau tidak ada keberanian jika beliau ada keberanian ertinya dengan bukti yang diberikan kepada Sarawak Report maka mereka harus menunjukkan bukti.

"Kenapa mesti berani menuduh tapi tanpa bukti oleh kerana pekara ini telah terdedah melalui sistem keadilan di United Kingdom dan beliau harus berani bertanggungjawab kepada semua data dan maklumat yang diberikan kepada Sarawak Report," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan portal The Malaysian Insight yang mendedahkan menerusi hujah balas dan pembelaan yang difailkan Rewcastle-Brown dengan mengatakan pernah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 mengenai Perdana Menteri, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Pas.

Pembelaan itu difailkan Rewcastle-Brown dalam saman fitnah Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London pada April lepas dengan membabitkan artikel yang mendakwa Pas menerima dana berjumlah RM90 juta sebagai habuan menyokong Barisan Nasional (BN).

Artikel Sarawak Report bertajuk 'As Najib denies all over 1MDB let's not forget his many other criminal connections' disiarkan menerusi portal itu pada 6 Ogos 2016.

Ahmad Zahid sehubungan itu menyatakan simpatinya kepada Pas yang mana parti berkenaan tidak boleh dianiaya dengan perkara yang tidak benar seumpama itu.