Sebuah kedai emas yang berada dalam sebuah pasar raya di Jalan PJS 2/18, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, Selangor mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas kedai itu disamun.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi ketika kawasan itu agak lengang kerana ramai yang pergi menunaikan solat Jumaat.

Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan dua lelaki disyaki warga Indonesia, memasuki kedai emas itu dengan bersenjatakan pistol dan tukul besi.

Suspek kemudian mengacukan senjata itu ke arah dua pekerja dan mengugut mangsa untuk menyerahkan barang kemas di ruang pameran.

Selepas mendapatkan barang kemas, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss bewarna gelap.

Polis sudah mendapatkan bahan bukti di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kameran litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek serta nombor pendaftaran motosikal yang digunakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din mengesahkan kejadian samun kedai emas tersebut dan kini polis giat memburu suspek.