Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menganggap Karnival Deepavali sebagai satu saluran terbaik kepada ahli perniagaan dari India mahupun Malaysia bagi memupuk kerjasama yang sihat dan akrab.

Beliau berkata karnival yang berlangsung sehingga 5 Nov itu adalah antara yang terbesar dan paling berwarna-warni di luar India, menampilkan 420 petak perniagaan dan mengundang kehadiran lebih 400,000 pelawat setiap kali diadakan.

"Kita harap lebih ramai dan ahli perniagaan dan pedagang India mengambil peluang ini untuk memasarkan barangan mereka di festival membeli belah terbesar di Asia Tenggara ini," katanya semasa merasmikan Karnival Deepavali 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

"Kami gembira untuk mengatakan di sini bahawa Karnival Deepavali Carnival memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan kita dengan menyumbang kepada sasaran kehadiran 700,000 pelawat dari India, yakni sasaran nasional kita," tambahnya.

Gobind Singh seterusnya menyuarakan harapan agar karnival itu akan berkembang lebih maju setiap tahun, sekaligus mewujudkan persekitaran yang menguntungkan buat ahli perniagaan, dan perdagangan antara Malaysia dan India akan terus meningkat.

Selaras dengan evolusi kearah ekonomi digital, Gobind Singh turut menggalakkan lebih ramai ahli perniagaan untuk meneroka dan mengambil peluang daripada pelbagai platform atas talian dalam memasar dan menjual produk serta perkhidmatan mereka.

Dengan mengambil pasaran fesyen Bollywood sebagai contoh, beliau berkata ia merupakan satu pasaran yang amat menguntungkan yang masih belum diteroka sepenuhnya oleh syarikat dari Malaysia.

"Ahli perniagaan Malaysia seharusnya meletakkan sasaran untuk menjadi sebagai hub kepada produk dan perkhidmatan dari India di Asia Tenggara ini, kawasan yang mempunyai jumlah populasi menjangkau lebih 600 juta.

Beliau berkata Malaysia sedang muncul sebagai pelabur berpotensi utama di india, dengan pelaburan terus asing Malaysia bertumpu kepada sektor pembinaan jalan dan lebuhraya, telekomunikasi, minyak dan gas, stesen janakuasa, pelancongan dan sumber manusia.

Dalam tempoh enam bulan tahun ini, perdagangan duahala antara Malaysia-India mencecah US$7.7 billion (US$1 = RM4.2), yakni 34 peratus pertumbuhan berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Perdagangan dua hala antara dua negara mencecah US$14.3 bilion pada tahun 2017.

-- BERNAMA