Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia perlu mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang terus membuat kenyataan mengenai prosiding PAC, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng.

Beliau yang juga anggota PAC menyifatkan tindakan dua anggota berkenaan yang berterusan mempolitikkan sesi prosiding PAC sebagai tidak wajar kerana menurutnya mereka telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

"Kenyataan-kenyataan mengelirukan yang mereka keluarkan itu akan menyebabkan orang ramai bersikap prejudis dengan prosiding PAC.

"Mereka juga telah ingkar dengan persetujuan sebelum ini bahawa hanya Pengerusi PAC yang dibenarkan mengeluarkan kenyataan berhubung prosiding yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tanpa menamakan secara langsung dua anggota PAC berkenaan, beliau dipercayai merujuk kepada dua anggota PAC dari pembangkang iaitu Tony Pua dan William Leong yang telah mengeluarkan kenyataan mengenai prosiding PAC pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Liang berkata, terdapat individu-individu yang lebih berminat mempolitikkan prosiding PAC daripada mencari kebenaran kepada siasatan yang dijalankan oleh PAC berhubung sesuatu isu.

"Sebagai anggota PAC, saya benar-benar kecewa dan sedih dengan tingkah laku mereka. Ia penuh dengan pembohongan dan mengelirukan," tambahnya lagi.

Sambil memberi contoh, bagaimana Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa oleh mereka tidak boleh menjawab soalan yang dikemukakan ketika disoal pada prosiding pada Jumaat.

"Itu adalah kenyataan yang tidak benar sama sekali. Pada prosiding itu, Arul Kanda hanya tidak menjawab satu soalan berhubung dakwaan yang dikeluarkan sehari sebelum itu mengenai perkara yang ada kaitan dengan pihak luar.

"Kenyataan secara berpilih dan tidak lengkap yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkenaan tidak memberikan gambaran sebenar dan saksama mengenai apa yang berlaku di dalam prosiding semalam," katanya lagi.

Liang menyifatkan, tindakan itu sengaja dilakukan dengan niat untuk mempolitikkan semula prosiding PAC supaya orang awam akan keliru serta bersikap prejudis kepada prosiding yang dijalankan oleh PAC.

Beliau mendakwa beberapa media dalam talian berbahasa Inggeris dan Cina terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan itu.

Ini, jelasnya sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dan oleh itu sewajarnya Speaker Dewan Rakyat merujuk mereka ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.