Anggota Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu tindakan diambil terhadap pihak yang membina dan menyewakan rumah di tanah kerajaan termasuk kawasan tebing sungai di Gombak Utara, Selangor.

Perkara itu sampai ke pengetahuan beliau ketika melawat hampir 90 mangsa daripada 21 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku petang semalam di Batu 11, Gombak.

"Saya sudah mengarahkan pegawai daerah dan Majlis Perbandaran Selayang mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkenaan kerana mereka sudah melakukan dua kesalahan iaitu bina rumah atas tanah kerajaan berstatus rezab untuk pengurusan sungai dan jalan, serta memberi sewa kepada pihak lain bagi tujuan keuntungan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa berkenaan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Batu 12, Gombak.

Menurutnya, ada antara mangsa yang dikatakan menyewa rumah di tebing sungai sejak beberapa tahun lalu dengan kadar sewa RM300 hingga RM500 sebulan daripada pihak tidak bertanggungjawab itu.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata penempatan untuk 21 keluarga yang terjejas itu akan dibincangkan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam masa terdekat.

Lapan orang dilaporkan cedera dalam kejadian pada kira-kira 5 petang itu yang antara lain mengakibatkan pokok tumbang yang menghempap rumah penduduk.

-- BERNAMA