Kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di Pahang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam status Facebook berkenaan, pengguna yang menggunakan nama Facebook 'Desmond Yongkor' bertindak kurang ajar dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, pada Khamis.

Wakil kumpulan itu, Mohd Sharil Abdullah berkata, perkataan sebegini tidak sepatutnya dikeluarkan kepada pembesar-pembesar dan pemimpin negara terutama Ketua Negara Raja Berpelembagaan yang semestinya dihormati oleh seluruh rakyat jelata.

"Sehubungan itu kami menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun dan sesiapa sahaja yang membuat penghinaan kepada Tuanku selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang dan Malaysia umumnya," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Jumaat.

Antara yang membuat laporan polis adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Pejabat Agama Daerah Kuantan, UMNO Bahagian Kuantan, ABIM Pahang, WADAH Pahang, Malaysia Relief Agency Negeri Pahang dan Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota

Beliau berkata, pengguna laman sosial berkenaan sepatutnya tidak layak menjadi rakyat Malaysia malah dia seharusnya dilucutkan status kewarganegaraan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pihaknya akan berkerjasama dengan Bukit Aman dan beberapa jabatan kerajaan yang lain untuk mengesan suspek yang terbabit.

"Siasatan segera akan dilakukan bagi mengesan suspek yang terbabit. Saya ingin ingatkan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan seperti ini sebab polis akan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit," katanya.