Amerika Syarikat tertarik dengan langkah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membina dua pangkalan terapung luar pesisir menggunakan kapal kargo yang diubah suai dan pelantar untuk memantapkan operasi pemantauan di perairan Timur Sabah.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pihaknya menerima undangan Amerika Syarikat untuk sama-sama berkongsi pengetahuan berhubung konsep pangkalan laut itu dalam masa terdekat.

"Malah beberapa negara lain termasuk Brunei turut berminat untuk mengetahui berhubung pangkalan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan ulung Panglima Tentera Laut, di sini hari ini.

Malaysia mempunyai dua pangkalan laut iaitu platform statik menggunakan unit pengeluaran bergerak pesisir pantai (MOPU) dikenali sebagai Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, sementara platform bergerak menggunakan kapal terpakai yang dikenali sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan.

Kedua-duanya ditempatkan di perairan Timur Sabah bagi meningkatkan tahap keselamatan di perairan negeri itu terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Ahmad Kamarulzaman berkata baru-baru ini beliau telah memberi taklimat tentang konsep pembinaan pangkalan laut negara kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Ashton Carter.

"Sudah pasti mereka (Amerika Syarikat) mampu membina pangkalan laut yang lebih besar dan canggih namun kita tidak perlu pangkalan laut yang besar," katanya.

Beliau berkata kedua-dua pangkalan laut itu diilhamkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dilengkapi dengan sistem radar dan juga pesawat tanpa juruterbang (UAV) mampu memberi kesiapsiagaan berterusan tentera laut menjaga perairan negara.

"Jika dahulu sebelum ada pangkalan laut, kita terpaksa mengambil masa dua atau tiga jam bergantung kepada keadaan cuaca untuk menghantar bot apabila berlaku sebarang pencerobohan namun kini ia dapat dilakukan dengan kaedah yang lebih pantas," katanya.

Katanya pihak TLDM belum bercadang untuk menambah bilangan pangkalan laut di perairan Semenanjung Malaysia buat masa ini kerana satu kajian teliti perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum cadangan dibuat kepada kerajaan.