Jabatan Negara Amerika Syarikat mula meminta pemohon visa untuk mengemukakan latar belakang media sosial bagi tempoh lima tahun dan mengancam pemohon akan dikenakan tindakan 'imigresen yang serius' bagi mereka yang menyembunyikan maklumat akaun mereka.

Ia merupakan syarat yang dikenakan kepada pemohon yang ingin memohon visa sebagai pelawat sementara dan permastautin tetap (PR) di negara itu.

Menurut laporan portal berita The Hill, pemohon dikehendaki mengisi maklumat tersebut di bahagian permohonan visa di laman web rasmi pendaftaran negara itu.

Pemohon perlu mengemukakan maklumat akaun media sosial, maklumat pertukaran nombor telefon, e-mel dan sejarah perjalanan mereka sepanjang lima tahun.

Malah, jabatan negara itu juga meminta pemohon untuk menyatakan sama ada ahli keluarga mereka pernah terlibat dalam 'aktiviti pengganas' di bahagian afirmatif borang tersebut.

"Ini akan menjadi alat penting untuk menyiasat kepengganasan, ancaman keselamatan awam, dan individu berbahaya lain," kata pegawai jabatan negara itu kepada The Hill.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Keamanan Nasional (ACLU), Hina Shamsi membantah langkah itu kerana beranggapan bahawa polisi tersebut tidak adil kepada pemohon.

"Terdapat risiko bahawa pemeriksaan media sosial tidak adil kerana ia menyasarkan pendatang dan pengembara dari negara-negara Muslim untuk penafian visa yang diskriminatif," katanya dalam satu kenyataan .

Polisi ini mencetuskan kontroversi kerana sesetengah beranggapan ia adalah sebahagian daripada rejim melampau yang bermula sejak pentadbiran Presiden Donald Trump.

Ia menyebabkan industri pelancongan Amerika Syarikat semakin merosot, terutamanya dalam kalangan pelawat dari Asia Barat dan Afrika, iaitu rantau yang paling banyak dipengaruhi golongan Muslim.