Anak lelaki Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa, dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas tempoh tahanan remannya berakhir.

Bagaimanapun, Ahmad Syafi Husam, 29, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis metaphetamine.

Tertuduh juga memohon untuk dibicarakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah seberat 20 gram di tepi sebuah rumah beralamat Lot 409, Jalan Pasir Mas - Salor, Kampung Jelutong, jam 3.30 petang Sabtu lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwaraya Shahirun Azri Mohd Nordin menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Firdaus Mohd Yusoff memohon mahkamah agar mengurangkan jumlah wang jaminan kepada RM8,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain Firdaus, tertuduh turut diwakili empat peguam lain, Mohd Yusoff Yakob, Mohd Ridzuan Muhamad, Wan Abdullah Sani Wan Yusof dan Ahmad Nuri Abd Rahman.

Mahkamah menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan anak Husam ditahan kerana memiliki 200 biji pil kuda. Husam merupakan bekas Naib Presiden Pas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.