Anak bongsu penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Mohd Ghafar Abu Bakar hampir pitam ketika majlis upacara pengkebumian ayahnya sedang berlangsung.

Meskipun berada di bawah khemah, namun Afi Hazim, 14, anaknya yang sindrom Down, terpaksa dipapah anggota keluarga keluar dari kawasan perkuburan.

Afi Hazim difahamkan sedikit lemah dan berehat di dalam ambulans yang di parkir diluar kawasan tanah perkuburan untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Meskipun begitu, kira-kira jam 11.45 tengahari, ketika bacaan talqin hendak dimulakan, Afi Hazim yang dilihat kembali pulih datang ke kawasan perkuburan ayahnya.

Mohd Ghafar Abu Bakar
Afi Hazim dipapah masuk ke kawasan pengkebumian ayahnya selepas berehat seketika di dalam ambulans selama lebih kurang 20 minit. - Twitter@beeha3

Jenazah Allahyarham Mohd Ghafar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu di Taman Kosas. Hampir 1,000 orang hadir di majlis pengkebumian penyelia penerbangan kabin MH17 yang terkorban dalam nahas 17 Julai lalu.

Sementara itu, jiran Allahyarham turut memberitahu, sahabatnya itu sangat penyayang dan prihatin.

"Anak yang bongsu itu, memang arwah sayang sangat. Setiap kali kalau bercuti, arwah akan luangkan masa untuk hantar anaknya ke sekolah," katanya sewaktu membantu saudara membuat persiapan menyambut ketibaan jenazah dirumah seawal jam 8 pagi.

Mohd Ghafar Abu Bakar
Normi (dua, kiri) bersama anaknya Sa'imah Baizura (dua, kanan) dan Afi Hazim (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika majlis pengebumian Allahyarham. - fotoBERNAMA

Bagi Akil, kepergian Allahyarham sememangnya banyak memberi kesan kepada Afi Hazim yang masih lagi kecil.

Seawal 8 pagi, kawasan kediamannya mula dipenuhi kenalan dan jiran tetangga yang datang untuk menziarahi arwah. Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Taman Indah, Ampang pada 10.14 pagi untuk disembahyangkan dari kediamannya di Taman Bukit Indah.

GALERI FOTO: #MengenangMH17 - Penghormatan buat 2 jenazah

Sejurus tiba, jenazah ayah kepada tiga anak itu diusung anggota Batalion ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum diserahkan kepada anggota tentera Markas 11 Briged untuk diturunkan ke liang lahad.

Selain Afi Hazim, Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Normi Abdullah, 54, dan dua lagi anak; Sa'imah baizura, 29, dan Ammar Syarif, 25.