Kehilangan seorang anak sejurus ibunya dirompak dan dicederakan dalam kejadian di Tanjung Kidurong di sini pada 18 September lalu menjadikan dia dicari polis untuk membantu siasatan.
Mangsa, Norhayati Abdullah Lau, 61 tahun, merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Bintulu, yang juga Pengerusi Surau Nur Islam, dipercayai diserang dengan senjata tajam dan mengalami luka parah di kepala.
Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Bintulu oleh ahli keluarga dan dilaporkan stabil setelah menjalani pembedahan selama tujuh jam pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan polis pada pagi Rabu lalu berhubung kes tersebut.
"Laporan menyebut seorang wanita warga emas ditemui cedera setelah terkena objek tajam di bahagian muka selepas bergelut dengan seorang lelaki yang memakai penutup muka di biliknya.

“Beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen dan wang tunai RM500 turut dilarikan oleh lelaki terbabit," kata Zulkipli.
Bagaimanapun, hasil siasatan polis gagal menemui kesan pecah masuk di tempat kejadian, yang kemudian mewujudkan teori bahawa suspek adalah individu yang dikenali mangsa.
Difahamkan anak mangsa tinggal bersama-samanya di rumah tersebut, sebelum hilang.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan dipenjara boleh sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.