Saban hari, seorang ibu malang di sini terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman dan ugutan daripada samseng Along hanya kerana tindakan tidak bertanggungjawab anak lelakinya.

Tong Chew Wah, 64, juga didatangani sekumpulan lelaki yang dipercayai ah long yang muncul di hadapan rumahnya sebelum menampal risalah meminta supaya mangsa menjelaskan hutang.

Akibatnya, Che Wah tiada pilihan lain selain daripada terpaksa menukar nombor telefon kerana tidak sanggup lagi diganggu dengan panggilan ah long saban hari.

Che Wah berkata, ada masanya dia menerima sebanyak 20 panggilan setiap hari daripada ah long memaksanya melunaskan pinjaman yang tidak disebut jumlahnya.

Selepas sekian lama melalui saat-saat yang getir itu, Che Wah memutuskan untuk tidak mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan anaknya.

"Saya sudah tidak tahan, saya tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan dia (anak) lagi," kata ibu kepada tiga orang anak itu lagi ketika ditemui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Menurutnya, ah long sering mengugutnya supaya menjelaskan hutang yang dibuat anaknya.

"Masa itu ah long ugut saya supaya membayar hutang yang dibuat anak. Mereka tidak bagi tahu jumlah hutang itu. Mereka dakwa akan simbah cat merah ke rumah saya jika tidak membayarnya.

"Selepas itu, setiap hari ah long ini akan telefon saya. Hampir 20 kali setiap hari mereka telefon. Ini menyebabkan saya terpaksa menukar nombor telefon yang baru bagi mengelak diganggu," ujar Che Wah lagi.

Kata Che Wah juga, sudah hampir tujuh tahun mereka anak beranak terpisah dan sepanjang tempoh itu tiada sebarang panggilan diterima daripada anaknya yang berusia 41 tahun itu.

"Sebelum ini, dia pernah berhutang dengan along sebanyak RM58,000. Namun, saya tolong selesaikan bayaran. Masalah ini berpunca akibat tabiat anak yang suka berjudi.

"Selepas itu, dia kata hendak pergi bekerja di Singapura dan semenjak itu, dia langsung tidak menghubungi saya atau balik ke rumahnya di sini," katanya yang tinggal di Alor Akar di sini.

Berikutan itu, Che Wah telah membuat laporan polis dan nekad untuk mempunyai apa-apa ikatan dengan anak lelakinya itu.