"Anak saya begitu teruja apabila menerima tangan robotik bagi kegunaannya dalam menjalani kehidupan harian," kata Amirul Faiz Noor, 32, bapa kepada penerima tangan 3D, Amirul Nur Rayyan, 6.

Amirul Faiz berkata anak lelaki beliau sentiasa ternanti-nanti untuk mendapatkan tangan 3D berkenaan setelah perekanya Sujana Mohd Rejab bersetuju untuk membuat tangan robotik itu pada Mac lalu.

"Anak saya mengalami kecacatan pada tapak tangan kiri sejak dilahirkan dan dia sangat gembira kerana mendapat tangan yang boleh membantunya menjalani kehidupan seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pertandingan Kemahiran Kolej Komuniti (MyCCSkills) di sini pada Selasa.

Amirul Faiz berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang itu berkata anak lelaki beliau sepatutnya menjalani satu pembedahan pada umur beliau menjangkau sembilan tahun atas cadangan Hospital Pulau Pinang.

"Kos untuk pembedahan itu membabitkan antara RM40,000 hingga RM50,000, tetapi saya tidak mampu menyediakan wang untuk tujuan itu sehingga saya mendapat maklumat yang Sujana boleh membantu membuat prototaip tangan 3D menggunakan bahan plastik dan bateri untuk menggerakkan tangan itu," katanya.

Amirul Nur Rayyan merupakan anak kedua daripada tiga adik beradik.

Sementara itu, Sujana berkata Amirul Nur Rayyan merupakan penerima tangan 3D yang ketiga setakat ini.

"Saya akan membuat lima lagi tangan 3D untuk diberikan kepada penerima pada bulan depan dengan bantuan tiga pelajar kolej yang sedang menjalani latihan bersamanya.

"Setiap sebuah tangan 3D berkenaan berharga RM2,500 hingga RM3,000 dan boleh disiapkan dalam tempoh seminggu jika proses membuatnya tidak mempunyai pelbagai masalah.

"Tangan 3D tersebut adalah antara 20 tangan 3D yang dilaksanakan dengan kerjasama Kolej Komuniti Taiping. Kesemua projek itu dijangka selesai pada Oktober tahun ini," katanya.

Pengarah Kolej Komuniti Taiping Haslinda Abdul Hamid berkata projek tangan 3D yang diadakan sejak Disember tahun lepas itu merupakan tanggungjawab sosial korporat bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Bagaimanapun, beliau berkata projek pembuatan tangan 3D berkenaan bermula pada Mac lepas selepas mengadakan kolaborasi bersama Sujana.

"Kolej ini mempunyai kemudahan tenaga pengajar dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang teknologi pembuatan," katanya.