Anak lelaki Pengerusi Majlis Amanah Rakyat(Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin meninggal dunia di kediamannya di Jalan Tropicana Utama, Petaling Jaya malam tadi.

Pegawai Khas kepada Awang Adek, Che Samsuzaha Che Noh berkata Ahmad Azram, 33, yang masih bujang menghembuskan nafas terakhir pukul 11.40 malam.

“Allahyarham tidak menghidap apa-apa penyakit dan meninggal secara mengejut. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr. Ismail selepas zuhur,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Ahmad Azram merupakan orang kurang upaya dan anak ketiga daripada lima beradik.

Sementara itu, Awang Adek berkata Ahmad Azram merupakan anak beliau yang teristimewa.

“Thank you to all. Azram is my special child and he passed on at 33. (Terima kasih kepada semua. Azram adalah anak istimewa saya dan beliau meninggal pada usia 33 tahun),” katanya menerusi WhatsApp.

-- BERNAMA