Anak lelaki Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, Datuk Andrew Wong Kee Yew, 42, meninggal dunia di kediamannya di Jalan Ipoh, Sibu pada Ahad.

Menurut sumber, pembantu rumah mendiang, sebelum itu mengetuk pintu bilik Andrew untuk mengajaknya makan malam, namun tiada sebarang respon.

Dua jam selepas itu, ibu mendiang, Datin Seri Liong Po Ling pula ke bilik Andrew dan mendapati anaknya tidak sedarkan diri di lantai bilik.

Pegawai perubatan yang ke rumahnya kemudian mengesahkan Andrew meninggal dunia namun punca kematian masih disiasat.

Andrew meninggal seorang balu dan dua orang anak lelaki dan perempuan.

Mendiang merupakan calon Barisan Nasional di Kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) lepas.

Beliau bagaimanapun tewas kepada calon DAP, Oscar Ling dengan majoriti 11,422 undi.