Anak muda negeri Sabah digesa untuk berusaha lebih gigih dalam usaha memajukan negeri seiring dengan pembangunan yang dikecapi Semenanjung Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, ia penting bagi membuktikan bahawa graduan terutamanya mempunyai potensi bertaraf dunia.

"Satu-satunya cara untuk rapatkan jurang dengan Semenanjung, Sabah perlu bergerak lebih pantas.

"Kalau orang Semenanjung merangkak, kita kena berlari. Kalau mereka berlari, kita kena pecut. Kalau mereka pecut, kita kena terbang tiggi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia Zon Sabah pada Ahad.

Jelasnya, dengan cara tersebut, Sabah boleh terus berkembang malah mampu mengecilkan jurang sedia ada.

Malah, beliau turut mahu anak muda di Sabah untuk tingkatkan keyakinan diri dengan membuang rasa rendah diri yang melampau.

Tambahnya, dalam pembangunan kualiti diri, ia bukanlah tentang diri sendiri semata-mata, ia meliputi usaha meningkatkan kualiti hidup malah menaikkan martabat negeri dan negara.

Sebanyak 6,000 peluang kerjaya ditawarkan dalam sesi temu duga SL1M Zon Sabah yang membabitkan lebih 40 buah syarikat.

Ia diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, UMS berjaya menarik lebih 4,000 pengunjung di sepanjang hari pertama.

Pelbagai aktiviti seperti sesi perkongsian bersama selebriti, klinik resume, pameran kereta, gerai jualan dan pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan sesi kedua untuk tahun ini.