Seorang remaja kelainan upaya (OKU) Muhammad Ridzuan Abdul Shokor yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, telah ditemui berada dalam keadaan selamat di Taman Universiti, Johor Bahru.

Bapanya, Abdul Shokor Abdul Talib ketika dihubungi Astro AWANI berkata, dia dimaklumkan oleh seorang individu bahawa terlihat anaknya berada di sebuah pusat beli belah di Taman Universiti itu kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Pada mulanya saya tidak percaya bagaimana anak saya yang hilang di Seri Kembangan, boleh berada di kawasan sebuah pusat beli belah di kawasan rumah lama kami di Skudai,

“Saya minta dia hantar gambar untuk saya sahkan. Bila saya dapati betul itu anak saya, saya minta dia hantar ke balai polis berdekatan,” jelasnya.

Muhammad Ridzuan, 18 tahun dilaporkan dijumpai sedang bermain permainan arked di pusat beli belah berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Shokor tidak pasti bagaimana anak keduanya yang mengalami masalah pembelajaran boleh membeli tiket bas dan pulang ke rumah lama mereka di Skudai.

Muhammad Ridzuan dilaporkan hilang kira-kira pukul 1 tengah hari 15 Februari lalu di kediaman mereka di Pangsapuri Putra Indah, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan.

Menurut keluarga, Muhammad Ridzuan hilang membawa beg sekolah bersama beberapa helai pakaian termasuk kad pengenalan dan kad OKU.

BACA: 'Tolong jejaki Muhammad Ridzuan, sudah 50 jam dia hilang' - Bapa remaja OKU


Seorang remaja OKU Muhammad Ridzuan Abdul Shokor yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, telah ditemui di Skudai Johor
Gambar awal yang dihantar kepada Abdul Shukor ketika dimaklumkan bahawa anaknya telah ditemui.



Seorang remaja OKU Muhammad Ridzuan Abdul Shokor yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu, telah ditemui di Skudai Johor