Keletah anak panda betina kedua kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China yang bermain kek ais dan buluh yang diletakkan atas pelantar sebagai hadiah sambutan ulang tahun pertamanya hari ini nyata mencuit hati pengunjung di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara.

Hanya dikenali sebagai 'Adik' dalam kalangan penjaganya, berat badan anak panda itu kini mencecah 34 kilogram membuktikan ia semakin menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan aktif memanjat pokok-pokok buatan yang diwujudkan dalam tapak kompleks seluas 1.6 hektar tersebut.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan GPCC, Dr Mat Naim Ramli berkata, tumbesaran 'Adik' berada pada tahap terbaik dan masih sepenuhnya menyusu dengan ibunya walaupun sesekali memakan buluh yang disediakan.

"Sikapnya agak manja dan jika berbanding dengan kakaknya, Nuan Nuan, 'Adik' tidak sebegitu aktif dan kurang meneroka kawasan sekitar. Dia lebih gemar bersantai di atas pokok buatan dan mengekori ibunya," katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun pertama kelahiran 'Adik' di sini hari ini.

Dr Mat Naim berkata, walaupun sambutan dilakukan secara sederhana, ulang tahun pertama 'Adik' tetap memberi impak penting kepada GPCC memandangkan kelahirannya adalah di luar musim mengawan yang lazimnya berlaku pada antara April dan Jun.

Adik bersama 'kek' hari jadinya. - Foto AP

"Buat pertama kali dalam dunia panda gergasi, 'Adik' dilahirkan di luar musim iaitu Januari dan berlaku bukan di negara asalnya iaitu China yang mempunyai empat musim. Selepas ini, kita akan memantau tahap kesihatannya dengan lebih teliti termasuk menjalankan ujian sampel darah," katanya.

Disoal mengenai nama rasmi 'Adik', Dr Mat Naim menjelaskan pihaknya masih menunggu keputusan daripada kerajaan dan akan mengumumkannya sebaik sahaja mendapat nama yang dipersetujui.


Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima sepasang panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pasangan haiwan itu melahirkan anak panda pertama pada 18 Ogos 2015 dinamakan Nuan Nuan yang kemudiannya dihantar pulang ke China pada 14 Nov 2017 bagi memenuhi syarat perjanjian antara kedua-dua negara.

Selepas kelahiran anak pertama pada 2015, pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang menerima kehadiran anak kedua seberat 150 gram pada 14 Jan 2018.

'Adik' dilahirkan secara semula jadi pada 7.50 pagi iaitu 89 hari selepas tarikh persenyawaan pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang dan mula dipertontonkan kepada orang ramai pada 26 Mei 2018.

-- BERNAMA