Pihak berkuasa sewajarnya menyiasat Tengku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berhubung satu muat naik di media sosial yang membayangkan Johor berhak berpisah keluar dari Malaysia, kata pakar perlembagaan Dr. Abdul Aziz Bari.

Dalam satu wawancara yang dipetik oleh Malaysiakini, Abdul Aziz berkata mereka yang mencadangkan supaya Johor keluar dari Malaysia tidak terkecuali daripada Akta Hasutan 1948.

Beliau merujuk kepada tindakan pantas pihak polis terhadap mereka yang menggerakkan kempen untuk Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

"Peguam Negara dan polis perlu membuat siasatan sama ada putera raja itu telah melanggar undang-undang, iaitu Akta Hasutan 1948 dan yang serupa dengannya.

"Jabatan-jabatan ini bertanggungjawab untuk melaksanakan undang-undang dengan sama rata terhadap semua rakyat. Putera Johor sememangnya tidak kebal di bawah undang-undang.

"Hanya sembilan sultan yang menikmati keistimewaan itu, tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas raja-raja," katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Abdul Aziz mengulas petikan satu perjanjian lama yang dimuat naik oleh Tunku Idris di Instagram baru-baru ini, yang kemudian dipadamkan.

Perjanjian lama itu mencadangkan bahawa Johor boleh berpisah dari Malaysia sekiranya syarat-syarat penyertaan negeri itu ke dalam Persekutuan Tanah Melayu dicabul.

Empat lelaki pada 16 Februari lalu didakwa di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Seksyen di Kota Kinabalu kerana memiliki bahan penerbitan yang menghasut.

Mereka adalah antara sembilan orang yang ditahan di Tuaran pada pagi 1 Februari kerana didakwa menyebarkan risalah gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Menurut laporan, risalah itu menyenaraikan hak-hak wilayah Borneo Utara dan mahu mengumpulkan 100,000 tandatangan untuk petisyen ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyatakan wilayah itu, yang sekarang merupakan sebahagian daripada Sabah, tidak lagi berminat menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Sementara itu, menurut Abdul Aziz, semua perjanjian lama mengenai kedudukan negeri-negeri dalam persekutuan terbatal dengan adanya Perlembagaan Persekutuan.

"Inilah undang-undang yang mengendalikan hubungan dan hak antara negeri dan kerajaan pusat.

"Putera raja itu mungkin ada hujahnya tetapi beliau perlu mengutarakan hujahnya dalam konteks Perlembagaan Persekutuan" katanya.