Pengumuman Kementerian Kesihatan mengenakan peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, rata-rata yang ditemu bual bersetuju dengan langkah kerajaan ini.

Antaranya ialah suri rumah Rumnah Sani, 60 tahun, yang berpendapat bahawa restoran adalah untuk menjamu selera dan bukannya dijadikan tempat merokok.

“Saya ibu kepada tiga anak. Apabila saya bawa anak-anak pergi makan, anak saya makan sambil sedut asap perokok!

“Saya nak jaga kesihatan saya dan keluarga elok-elok, tetapi kita pula berisiko untuk menjadi ‘perokok kedua', ada risiko kena kanser paru-paru disebabkan perokok yang tidak bertanggungjawab.

“Kedai makan adalah untuk makan. Kalau nak hisap rokok, sila ke tempat yang ditetapkan,” tegas Rumnah.

Pandangan yang sama turut dikongsi pelajar Muhamad Aris Ahmad, 23 tahun.

“Bagus dilaksanakan kerana dapat beri keselesaan kepada pelanggan yang tidak merokok.

“Kebersihan juga lebih terjamin, tiada puntung rokok yang mengotorkan tempat makan. Ia juga boleh menarik lebih banyak pelanggan ke kedai, terutamanya keluarga yang mempunyai anak kecil.

“Mereka tidak perlu risau anak-anak mereka menghidu asap rokok,” kata Muhamad Aris.

Larangan merokok di tempat awam, termasuk di kedai makan, menimbulkan pelbagai reaksi umum. - Gambar hiasan

Sementara itu bagi seorang produser, Afiq Ismail, 30 tahun, larangan itu bukan suatu masalah.

Beliau yang juga merupakan seorang perokok memberitahu bahawa dia prihatin dengan tempat dan juga orang sekelilingnya.

“Saya rasa tiada masalah untuk saya. Apabila saya bawa anak-anak saya ke restoran mamak, saya memang tidak merokok.

“Kalau ada yang merokok di sekeliling saya, saya dan keluarga tidak duduk di situ.

“Saya juga prihatin dengan tempat dan orang sekeliling saya. Jika mereka tidak merokok, saya tidak akan merokok di situ,” jelasnya.

Mahu tempoh lagi?

Namun, pengusaha rangkaian restoran Nasi Kandar Nasmir dan Nash Bistro, Datuk Kadar Shah Abdul Razak, berharap agar tempoh satu tahun diberikan kepada pemilik restoran untuk memansuhkan kawasan merokok di restoran.

“Saya sokong penuh hasrat kementerian untuk mengharamkan perbuatan menghisap rokok di restoran.

“Cuma cadangan saya, berikan tempoh satu tahun untuk (membiarkan) 40 peratus kawasan di restoran dikhususkan untuk perokok.

"Hal ini disebabkan semua pengusaha restoran ada komitmen tinggi seperti bayar sewa,” ujarnya.

Kadar juga berkongsi kajian syarikatnya di mana jika penguatkuasaan ini dilaksanakan dengan serta-merta, perniagaan akan mengalami kerugian sebanyak 30 peratus.

“Jika dihentikan serta-merta, mengikut kajian syarikat saya, perniagaan akan berkurangan sebanyak 30 peratus dalam jualan. Hal ini kerana kebanyakan yang melepak di restoran mamak adalah anak muda yang merokok.

“Pengusaha boleh mengurangkan komitmen dan melaraskan waktu perniagaan jika diberi tempoh setahun. Pelanggan juga dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ia adalah keadaan menang-menang bagi kedua-dua pihak,” tambahnya.

Apa pula pandangan anda?