Ancaman oleh militan Daish bukan lagi mengenai 'jika' ia berlaku tetapi bila serangan ke atas negara ini akan dilakukan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Malaysia sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam memerangi ancaman militan Daish.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak 2016 di kompleks Islam Sarawak di sini pada Khamis.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, berikutan ancaman berkenaan dan bagi menghadapi apa juga insiden, kawalan keselamatan negara kini diletakkan di tahap optimum.

Sementara itu, beliau berkata, program deradikalisasi yang dilaksanakan Malaysia bagi memulihkan anggota militan di negara ini, mencapai tahap kejayaan 97.5 peratus.

“Kempen kesedaran harus ada pada semua dan jangan pernah memandang enteng… ini bukan perihal jika. Jika serangan militan berlaku di sesetengah kawasan, persoalan yang timbul ialah bila ia berlaku," kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita perlu berwaspada dan tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Kita juga tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa, kita perlu hanya berwaspada, kita perlu bersatu dan memastikan negara berada dalam keadaan selamat,” tambahnya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian di majlis ramah mesra Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Islam Kuching, di sini hari ini.

Menerusi program itu, katanya, anggota militan yang ditahan akan menjalani proses pengasingan bagi mengelak risiko penyebaran fahaman dalam kalangan banduan lain.

Setakat ini, katanya, tujuh warden penjara dikesan terpengaruh dengan kumpulan militan dan telah diletakkan dalam program derakalisasi.