Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa rakyat Malaysia terutamanya peniaga-peniaga di Jalan Alor dan kawasan sekitarnya di Kuala Lumpur supaya tenang dan yakin dengan polis bagi memastikan keselamatan di jalan-jalan berkenaan.

"Saya mahu memuji polis dan (rangkaian) risikan (mereka) kerana menjalankan tugas dengan baik bagi menangani isu pengganas di negara ini.

"Kami berharap polis akan terus meningkatkan pemantauan bagi memastikan kita bebas daripada serangan pengganas di negara ini," katanya pada sidang media selepas Dialog Pasca Persidangan dengan Pemimpin Industri di pejabat beliau di sini, hari ini.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan diminta mengulas mengenai nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur semalam mengenai kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Jalan Alor dekat Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Liow menggesa polis mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menggesa supaya diadakan perhimpunan di Jalan Petaling di Kuala Lumpur esok.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Jamal Md Yunus mengancam untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Jalan Petaling esok.

Mengenai Dialog Pasca Persidangan dengan Pemimpin Industri itu, Liow berkata sebanyak 10 resolusi yang dikemukakan pihak industri akan dibawa ke Persidangan Perwakilan Tahunan MCA akan datang.

Beliau berkata antara resolusi yang dikemukakan ialah isu kekurangan tenaga mahir tempatan dalam industri utama seperti logistik dan kesukaran mendapat pekerja asing dalam sektor komoditi.