Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hanya akan menyebabkan sokongan terhadap Pakatan Harapan lebih merudum.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Anwar dilihat sebagai individu yang ramai musuh dan keputusan meletakkan dia kepada jawatan tertinggi kerajaan itu akan menyebabkan orang meninggalkan gabungan parti itu.

Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, beliau melihat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan calon paling sesuai sebagai Perdana Menteri dan beliau akan memberi sokongan padu terhadap Presiden Parti Warisan Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna itu.

“Jadi seolah-olah dia (Anwar) hendak dia saja boleh jadi Perdana Menteri. Dan kita boleh bagi kepada dia. Tetapi dia mempunyai banyak musuh. Kita punya bilangan tidak cukup.

“Kita nak kena tambah bilangan. Kalau bubuh nama dia, saya fikir tak ramai yang akan menyertai. Bahkan akan ada orang-orang tertentu yang akan sedang ada dengan kita akan tinggalkan kita,” katanya dalam rakaman video itu.

BACA: Shafie Apdal calon Perdana Menteri PH Plus? Kenapa tidak, kata Wirawati

Atas ‘kedegilan’ Anwar, Dr Mahathir berkata, beliau melihat Mohd Shafie sebagai tokoh paling sesuai untuk menjawat jawatan itu sekiranya Pakatan Harapan berjaya mendapatkan semula Putrajaya.

Jelas beliau lagi, Mohd Shafie dilihat sebagai seorang ahli politik yang setia kepada perjuangan menentang kleptokrat dan tidak akan pernah belot sama sekali.

"Kita buat keputusan untuk pilih Datuk Seri Shafie Apdal kerana dia pegang kuat kepada perjuangan, tak pernah belot sama sekali. Dan kita anggap orang-orang di Sabah dan Sarawak ini akan sokong, kerana ini kali pertama orang Sabah, orang Sarawak dapat jadi Perdana Menteri.

“Saya akan sokong 100 peratus. Saya akan kempen untuk Shafie. Dan saya akan terangkan kenapa kita pilih Shafie,” kata Dr Mahathir lagi.