Anggota Parlimen Kelana Jaya daripada PKR, Wong Chen mengakui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan insentif yang berjaya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Belanjawan Alternatif 2017 oleh pakatan harapan, Wong berkata BR1M merupakan kaedah dalam pemberian bantuan secara terus kepada golongan sasaran.

"Saya fikir BR1M adalah program yang agak berjaya... BR1M merupakan subsidi bersasar, dan merupakan cara untuk memastikan golongan miskin tegar diberikan bantuan," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pakatan harapan akan meneruskan BR1M sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir.

Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan belanjawan berkenaan bertemakan 'Menentukan Masa Hadapan' serta turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua Kiam Wee. - Bernama