PETALING JAYA:Dua anggota polis termasuk seorang yang mempunyai rekod rompakan berkumpulan, ditahan kerana dipercayai memeras ugut seorang lelaki di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Khamis lalu, dua suspek yang menaiki kereta peronda polis menahan mangsa berusia 57 tahun yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian memeriksa telefon bimbit mangsa dan mahu menangkapnya kerana didakwa membeli nombor ekor secara haram.

"Mereka kemudiannya dipercayai telah memeras ugut wang tunai RM20,000 untuk tidak mengambil tindakan ke atas mangsa.

"Mangsa memaklumkan yang dia hanya mahu membayar RM4,000. Namun suspek berkeras meminta RM5,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, dua anggota dari Balai Polis Sri Hartamas itu kemudian membawa mangsa ke sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan wang sebelum dia dilepaskan selepas menyerahkan wang kepada mereka.

Beliau berkata, bertindak atas laporan, polis menahan seorang anggota berusia 30 tahun kira-kira jam 2 petang, Khamis lalu di kawasan Sri Hartamas.

Susulan daripada tangkapan itu katanya, seorang lagi suspek berusia 38 tahun ditahan tujuh jam kemudian di kawasan yang sama.

"Kita turut merampas sebuah kereta peronda polis jenis Proton Preve, kad kuasa polis, lesen memandu polis, sebuah buku saku dan wang tunai RM2,500," ujarnya.

Pemeriksaan rekod lampau juga katanya, mendapati salah seorang suspek mempunyai kes bersabit Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan namun dibebaskan.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.