Seorang anggota polis merupakan antara dua yang ditahan selepas didapati memiliki senjata api palsu jenis Glock bersama lapan kelopak peluru dan 10 pil dadah jenis Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada serbuan ke kediamannya di Taman Setapak Indah.

Kedua-dua mereka ditahan pada Khamis pada sekitar jam 12.30 tengah hari di sekitar Gombak dengan rampasan dilakukan di dua lokasi berasingan.

Antara lain yang dirampas merupakan motosikal jenis Yamaha yang juga menggunakan nombor pendaftaran palsu, kad kuasa polis bersama beberapa lagi kelengkapan lain serta pisau lipat.

Menurut pihak polis, motosikal yang dirampas juga mempunyai kaitan dengan kes lain di Setapak.

Kedua-dua mereka kini direman empat hari bermula Jumaat oleh Mahkamah Majistret Selayang untuk tindakan lanjut.